Senarai Nombor 7 Terhebat Dalam Setiap Liga Utama di Eropah

Jersi nombor 7 (tujuh, Eng; seven, سبعة ; العربية) seringkali dikaitkan dengan pemain di bahagian serangan yang padu dan mempunyai kelebihan seperti kelincahan dalam menggelecek bola, mampu menjaringkan gol serta kepakaran sepakan percuma yang tepat.

Walaupun nombor 7 dipakai oleh pemain pertahanan dalam pasukan Malaysia, pemain lain yang memakai nombor ini seringakali dikaitkan dengan keupayaan dalam melakukan serangan.

Jika kita lihat di liga-liga utama di Eropah, hampir setiap pasukan mempunyai pemain berjersi nombor 7 yang boleh dikatakan sebagai bintang pasukan.

Jadi, di atas tanggungjawab sosial, kami kongsikan senarai nombor 7 terbaik dalam liga-liga utama di Eropah.

Nota : Statistik dan prestasi pemain hanya dikira dalam liga sahaja dan tidak termasuk dalam pertandingan piala domestik ataupun peringkat benua. Pemilihan nombor 7 terbaik ini bukanlah di atas fakta posisi nombor 7, sebaliknya nombor jersi semata-mata.

Ligue 1

Kita mulakan dengan liga yang paling tidak berprestij daripada senarai liga utama di Eropah – Ligue 1.

Pasukan yang mengumpul para pemain bintang dan bekas bintang, Paris Saint Germain, seperti biasa dilihat mendominasi carta liga utama Perancis ini apabila mengutip 50 mata dalam 21 perlawanan, dengan rekod kemenangan sebanyak 15 kali.

Penguasaan pasukan ibu kota Perancis ini dipacu oleh pemain muda bernombor 7, Kylian Mbappe, yang telah menjaringkan 10 gol, meletakkannya di tangga ketiga senarai penjaring gol setakat ini, di belakang Wissam Ben Yedder dari Monaco dan Jonathan David dari Lille yang berkongsi jumlah jaringan 12 gol.

Selain itu, Mbappe juga telah menyumbangkan 8 assist dalam 19 perlawanan, sekaligus menjadikannya pemain yang bukan sahaja tajam di hadapan gol, malah mempunyai hati perut juga untuk membantu rakan sepasukan mencipta nama sebagai penjaring.

Meskipun tampil cemerlang, masa depan Mbappe dengan PSG masih lagi samar-samar kerana kedua-dua pihak masih belum mampu untuk mencapai kata sepakat dalam kontrak baharu pemain ini, memandangkan kontraknya yang sedia ada akan tamat pada musim panas nanti.

Jika tiada persetujuan bersama, PSG bakal kehilangan penyerang muda yang paling padu ini kepada kelab yang telah membidanya pada musim panas tahun lalu – Real Madrid.

Serie A

Agak sukar untuk menentukan nombor 7 terbaik dalam liga ini kerana para pemain mereka lebih suka memakai nombor yang besar dan tidak masuk akal. Selepas berhempas pulas mencari informasi, maka dapatlah kami simpulkan bahawa nombor 7 terbaik di Serie A adalah pemain AS Roma, Lorenzo Pellegrini.

Lorenzo Pellegrini – watak penting dalam AS Roma. Gambar : RomaPress

Daripada 22 perlawanan liga, Pellegrini telah tampil dalam 15 perlawanan dan merekodkan enam jaringan serta empat bantuan gol, sekaligus meletakkanya berada di tangga keempat carta rating terbaik, dengan catatan mata sebanyak 7.43. Mendahului carta rating  ini adalah pemain Juventus yang kembali bersinar, Paulo Dybala yang merekodkan tujuh gol dan tiga assist, dengan rating purata 7.47.

Aksi Pellegrini ini bagaimanapun masih gagal membawa AS Roma ke tangga yang lebih tinggi dalam kedudukan liga di mana mereka sekadar berada di tangga ketujuh dengan 35 mata.

Bundesliga

Liga Persekutuan Jerman ini seperti biasa didominasi oleh Bayern Munich, yang kini mendahului liga selepas 19 perlawanan dengan kutipan 46 mata, mengatasi pesaing terdekat Borussia Dortmund yang baru mengutip 40 mata.

Dominasi Bayern ini semestinya dipacu oleh penyerang sensasi Robert Lewandowski yang telah menjaringkan 23 gol akan tetapi, pemain bernombor 7, Serge Gnabry, tidak kurang hebatnya juga.

Dalam 19 perlawanan liga, Gnabry telah menjaringkan sembilan gol, sekaligus meletakkannya sebagai penjaring kedua terbanyak kelab Bavaria ini di belakang Lewandowski, dan pada masa yang sama dia telah mencipta 3 assist.

Dengan rekod ini, Gnabry layak diangkat sebagai nombor 7 terbaik Bundesliga, jauh mengatasi nombor 7 yang lain.

La Liga

Kalau dilihat di atas kertas, pendahulu La Liga, Real Madrid, mempunyai nombor 7 yang cukup padu – Eden Hazard. Akan tetapi, kepaduan pemain ini telah ditinggalkan di Chelsea dan tidak dibawa bersama ke Madrid sejak menyertai kelab ibu kota Sepanyol tersebut pada tahun 2019.

Nombor 7 Barcelona, Ousmane Dembele, juga berperangai seperti Hazard di mana dia masih belum mampu untuk mencipta magis seperti mana yang dipamerkan bersama Borussia Dortmund suatu ketika dahulu.

Juanmi ketika menewaskan Ter Stegen awal musim ini. Gambar : Marca

Jika dilihat kepada prestasi semasa, nombor 7 terbaik dalam La Liga adalah milik pemain Real Betis- Juan Miguel Jimenez Lopez, atau lebih manja dipanggil Juanmi oleh rakan sepasukan.

Setakat ini, Juanmi telah menjaringkan 12 gol dan mencipta satu assist, sekaligus meletakkannya di tangga kedua bersama Vinicius Jr dalam carta senarai penjaring La Liga di belakang Karim Benzema yang telah menjaringkan 17 gol.

Prestasi cemerlang Juanmi ini telah membolehkan Betis berada selesa di tangga ketiga La Liga, empat mata mengatasi Atletico Madrid yang menduduki tangga keempat.

Liga Perdana Inggeris

Saingan nombor 7 terbaik dalam Liga Perdana Inggeris ini dilihat agak sengit di mana rata-rata pasukan mempunyai nombor 7 yang hebat. Cristiano Ronaldo, N’Golo Kante, James Milner, Andriy Yarmolenko, Bukayo Saka dan juga Son Heung-Min.

Jadi, agak sukar untuk menentukan nombor 7 terbaik dalam liga yang paling ramai pengikutnya di dunia ini.

Selepas perbincangan yang mendalam, kami bersepakat bahawa nombor 7 terbaik dalam Liga Perdana Inggeris adalah Manchester United.

Nombor 7 terbaik di EPL. Gambar : Loudviews

Ini kerana kalah atau menang, mereka tetap berada di nombor 7.

Kelakar tak?

Sumber :

i – whoscored.com
ii – BBC

BACA:  Ronaldo Dianggap Punca Kejatuhan Man Utd Hingga Menyebabkan Solskjaer Dipecat