Skuad England Percaya Harry Kane Tak Akan Sertai Pra Musim Bersama Tottenham Hotspur

Para pemain England dikatakan percaya yang kebarang kalian untuk melihat Harry Kane tidak kembali menyertai latihan pra musim bersama Tottenham Hotspur adalah sangat tinggi.

The Telegraph melaporkan yang Kane mungkin tidak akan kembali menyertai skuad dalam usahanya untuk memaksa kelab meluluskan perpindahannya menyertai Manchester City musim panas ini.

Ketua pasukan skuad The Three Lions itu masih belum menghantar permohonan rasmi untuk meninggalkan kelab (transfer request).

Namun Kane telah memberitahu pihak kelab yang beliau sudah bersedia untuk meninggalkan kelab untuk mencari cabaran baru dan mahu memenangi Piala kejuaraan.

Selepas tersebarnya berita tersebut, kebanyakkan kelab-kelab di benua Eropah mula mengalihkan perhatian mereka pada Harry Kane.

City antara pasukan paling berminat untuk mendapatkan Harry Kane dengan mereka dilaporkan bersedia membuat tawaran bernilai £100 juta untuk penyerang terhebat dunia itu.

Walau bagaimanapun, belum sempat Manchester City menghantar bidaan secara rasmi, Daniel Levy sudah awal-awal menolak tawaran tersebut.

Pada awal musim panas ini, Levy telah memberi bayangan yang sebalik keinginan Kane untuk meninggalkan Spurs, beliau akan tetap mengutamakan kepentingan kelab dengan menyatakan:

“Apa yang kami mahu dan apa yang kelab lain mahu adalah satu hal yang tak selalunya akan tercapai. Kami akan lakukan apa saja yang terbaik untuk kelab.”

Pengurus baharu Spurs, Nuno Espirito Santo telah menjalani sesi sidang media pertama bersama kelab kemarin, dan beliau telah mendedahkan hal yang hampir sama berkait ketua pasukan England itu, dengan menyatakan:

“Langsung tak ada keraguan dalam fikiran saya. Apa yang saya harapkan adalah Harry dapat recover dengan baik dan dapat rehat yang secukupnya.”

“Ketika dia tiba nanti, dia akan rasa sendiri untuk beri komitmen supaya menjadikan diri dia lebih baik. Kami ada cita-cita tinggi, kami mahu lakukan yang terbaik dan Harry termasuk dalam perancangan itu.”

“Harry merupakan pemain kami, titik! Tidak ada keperluan untuk bercerita tentang hal lain. Sekarang adalah waktu untuk dia berehat. Ketika dia kembali, kami akan adakan rundingan yang lebih baik. Saya sedang menanti dia kembali untuk sertai skuad.”

The Telegraph sebelum ini melaporkan yang rakan sepasukan Kane dalam skuad kebangsaan England percaya yang beliau tidak akan kembali sertai latihan pra musim bersama kelab dalam usahanya untuk pergi.

Menolak untuk sertai kem latihan bakal menjadi langkah paling drastik untuk seseorang pemain professional yang sudah dianggap sebagai role model dalam dunia bola sepak.

Bekas pemain Chelsea dan penyampai talkSPORT, Tony Cascarino percaya yang Kane tidak akan pernah melakukan hal seperti itu.

Cascarino mendedahkan hal tersebut dalam bual bicara Weekend Sports Breakfast bahawa:

“Kerana dia seorang yang sangat professional, saya rasa dia akan hormati kontrak dia dan dia akan berusaha untuk beritahu apa perasaan dia.”

“Perbincangan ini bukan baru berlaku tahun ini, tapi setahun sebelum dia menandatangani lanjutan kontrak terakhir dia, yang mana saya rasa dia ketika itu menandatangani perjanjian selama enam tahun.”

“Dia pada ketika itu sudah mendedahkan yang, ‘akan tiba satu waktu nanti saya mahu pergi’, dan Daniel Levy sepatutnya tahun benda itu.”

“Saya yakin Kane sudah bincangkan hal itu terlebih dahulu. Tak ada orang yang akan terus tandatangani perjanjian selama enam tahun tanpa berunding hal seperti itu terlebih dahulu.”

“Dia tentu sudah kata, ‘Jika tiba waktunya nanti dan kita masih belum menang apa-apa, saya akan pergi, saya mahu menang sesuatu, bagi saya dua ke tiga tahun, kalau tak menang juga izinkan saya keluar.”

Kane berjaya menjaringkan empat gol untuk skuad kebangsaan England dalam saingan Euro 2020

Sejak debut Kane bersama skuad senior Spurs pada musim 2011/12, beliau telah berjaya menjaringkan 221 gol dari 336 penampilan.

Kane walau bagaimanapun dilaporkan masih belum berbicara dengan pengurus Spurs yang baharu tentang kebarang kalian untuk beliau kekal di kelab untuk tempoh setahun lagi.

Walau bagaimanapun, Harry Kane dilaporkan sudah menandatangani perjanjian khas bersama kelab yang mana beliau akan dibenarkan untuk meninggalkan Spurs pada musim panas ini.

Levy ketika ini sedang berjuang berhabis-habisan untuk memastikan Harry Kane tidak akan pergi selagi mana tak ada kelab yang berani menawarkan nilai yang mereka mahukan.

Sumber: SB

The Telegraph

talkSPORT

BACA:  Kane Sudah Tidak Seperti Dahulu Selepas Temu Bualnya Bersama Neville