Solskjaer Anggap Gol Kemenangan Aston Villa Tak Sepatutnya Dibenarkan

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mempersoalkan bagaimana gol kemenangan Aston Villa dibenarkan oleh pengadil perlawanan.

Pengurus dari Norway itu mendakwa yang Ollie Watkins mengganggu pemandangan David de Gea, ketika Kortney Hause menanduk masuk gol kemenangan pasukan pelawat.

Villa berjaya membawa pulang tiga mata berharga di Old Trafford malam semalam, selepas menewaskan setan merah 1-0 dalam saingan Premier League.

United terpaksa akur dengan kekalahan memalukan di halaman mereka sendiri selepas Bruno Fernandes mempersia-siakan peluang untuk menjaringkan gol penyamaan.

United di hadiahkan sepakan penalti di hujung minit permainan, namun Fernandes lebih minat melepas geram berbanding menjaringkan gol dengan beliau merembat bola tinggi melepasi gawang gol.

Kekalahan ini merupakan kekalahan pertama setan merah sepanjang musim ini dalam saingan Premier League, selepas mereka melalui permulaan musim yang agak mantap.

Walau bagaimanapun, bagi Solskjaer, kekalahan ini semakin sukar untuk diterima, dengan beliau menganggap gol kemenangan Villa sepatutnya tidak dibenarkan.

Bercakap kepada BBC, pengurus setan merah itu sama sekali tidak menyelindungi perasaannya dengan beliau menyatakan bahawa:

“Kamu tentu boleh terima kalau kamu bolos gol yang sempurna, tapi itu offside. Dia sentuh David ketika pemain dia tanduk bola.”

“Bagaimana itu boleh dikira gol dan Leicester hadapi situasi sama tidak gol, saya cuma tak nampak tahap konsistensi itu dan ia jelas offside.”

Pengurus berusia 48 tahun itu mempersoalkan tentang mengapa gol masih dibenarkan sedangkan ada pemain yang menghalang pemandangan de Gea.

Sama ada dakwaan beliau sebenarnya wajar atau tidak ia sukar untuk diputuskan kerana situasi kontroversi seperti ini sememangnya bakal jadi topik perdebatan.

Walaupun gol itu dianggap kontroversi oleh pengurus pasukan tuan rumah, namun tak dinafikan yang Aston Villa berhak untuk menang dalam perlawanan ini.

Anak-anak buah Dean Smith kerap melancarkan serangan merbahaya dan mereka turut mempamerkan rentak persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Setan merah sementara itu kerap kali terlepas peluang keemasan dengan sepakan penalti Bruno Fernandes merupakan yang paling dungu berbanding kegagalan yang lain.

Dengan baki beberapa minit yang tinggal, beliau tampil untuk mengambil sepakan penalti dengan memiliki rekod yang sangat cemerlang dalam menyempurnakannya.

Namun entah apa yang merasuki beliau, Fernandes seolah melepas geram dengan merembat bola sekuat hati dan hasilnya bola rembatan beliau tersasar jauh melepasi palang gol.

Cristiano Ronaldo sempat memberi semangat kepada rakan senegaranya itu supaya jangan putus semangat walau dalam hatinya semua tahu apa beliau rasakan.

Kekalahan ini menambah minggu yang suram untuk Manchester United selepas mereka sebelum ini ditendang keluar oleh West Ham dari saingan League Cup.

United ketika ini berada di kedudukan keempat dalam carta liga, namun hanya dipisahkan dengan perbezaan satu mata sahaja berbanding pendahulu liga, Liverpool.

Manchester United selepas ini bakal melayan kunjungan Villarreal dalam aksi saingan Champions League, dan mereka tentunya mahu mencatat kemenangan dalam perlawanan tersebut selepas tewas pada aksi perlawanan pembukaan bertemu Young Boys.

Tiga kekalahan yang menimpa United dalam tempoh yang singkat ini mencetuskan sedikit kebimbangan di kalangan peminat, yang berharap agar mereka mampu bangkit dan catatkan kemenangan di pentas Champions League minggu hadapan.

Walau Solskjaer menyalahkan pengadil kerana membenarkan gol tersebut, namun beliau tetap harus terima yang para penyokong meletakkan sepenuh kesalahan di atas bahunya.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Senarai Kelab Paling Bernilai Di Dunia, Liverpool Terus Angkuh Di Puncak