Sumber Dalaman Dedahkan Ten Hag Kecewa Teruk Terlepas Gakpo

Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag telah memberitahu kelab bahawa dia kecewa teruk kerana mereka gagal memastikan Cody Gakpo menurunkan tandatangan untuk ke Old Trafford.

Berita ini berdasarkan laporan sumber dalaman yang telah memberitahu ESPN dan Erik Ten Hag pula mahu mendapatkan pengganti Cristiano Ronaldo secepat mungkin untuk menghadapi jadual yang padat.

Sumber memberitahu ESPN bahawa United tidak membuat bidaan rasmi untuk Gakpo kerana mereka tidak dapat menandingi pakej kewangan yang ditawarkan oleh Liverpool.

Ten Hag sedar dengan kekangan bajet di Manchester United selepas perbelanjaan yang lebih besar daripada jangkaan semasa musim panas tetapi telah meminta kelab itu menilai pilihan jangka pendek untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ronaldo.

Dengan sedikit wang yang tersedia untuk yuran perpindahan, Manchester United sedang melihat tawaran pinjaman jangka pendek sehingga akhir musim.

Joao Felix bersedia untuk meninggalkan Atletico Madrid tetapi kelab Sepanyol itu mahukan bayaran pinjaman yang besar serta perjanjian untuk menampung gajinya yang boleh menyebabkan jumlah pakej itu mencecah hampir €22 juta selama enam bulan.

Manchester United telah menolak untuk memperbaharui minat mereka terhadap Marko Arnautovic dari Bologna selepas melihat bekas penyerang Stoke dan West Ham itu pada musim panas tetapi Alvaro Morata kekal sebagai pilihan jika Atletico bersedia mendengar tawaran pinjaman.

Setan Merah telah menewaskan Nottingham Forest 3-0 ketika kembali ke aksi Liga Perdana pada Selasa hasil jaringan Marcus Rashford, Anthony Martial dan Fred dengan Ten Hag berkata selepas itu usaha untuk menandatangani penyerang akan diteruskan selepas berita mengenai persetujuan Liverpool dengan PSV untuk Gakpo.

Beliau berkata:

“Saya rasa kami sentiasa berada dalam pasaran tetapi ia perlu sepadan dengan kriteria sukan dan juga kriteria kewangan.”

Pada awal musim, pengarah bola sepak Manchester United, John Murtough telah memberitahu peminat supaya tidak berharap kepada pembelian di jendela perpindahan Januari lantaran kekangan kewangan.

Walaupun sumber ESPN menyatakan Erik Ten Hag kecewa teruk kerana terlepas Cody Gakpo, pengurus dari Belanda itu berkata dia langsung tidak peduli akan perkara itu.

Pengurus dari Belanda itu enggan mengulas mengenai perpindahan Gakpo dan ketika ini hanya fokus kepada pasukan dan urusan perpindahan Manchester United sahaja.

Bercakap selepas kemenangan 3-0 pasukannya ke atas Nottingham Forest pada hari Selasa, Ten Hag berkata:

“Saya tidak melihat pasukan lain, saya melihat pasukan kami,”

“Saya yakin dengan skuad yang kami ada, pemain dalam pasukan kami, mereka mempunyai keupayaan, individu dan sebagai satu pasukan untuk bersaing dengan semua pasukan itu.”

Bercakap kepada Amazon Prime, Ten Hag menambah:

“Saya tidak bercakap mengenai kes individu. Kami sedang mencari pemain yang menyerang, kami sedang mencari penyerang.”

“Adalah bagus kerana dengan perlawanan yang akan datang, begitu banyak, setiap tiga hari dan ia sukar.”

“Kami mahu bermain dalam semua liga yang kami sertai dan kekal dalam liga tersebut. Semoga ia dapat diteruskan sehingga akhir musim. Anda memerlukan nombor untuk menghadapi semuanya.”

Manchester United naik ke tangga kelima dalam Liga Perdana berikutan kemenangan mereka ke atas Forest di Old Trafford, dengan Marcus Rashford, Anthony Martial dan Fred berada dalam senarai penjaring untuk tuan rumah.

Pasukan Erik Ten Hag seterusnya akan menentang Wolverhampton Wanderers di Molineux pada 31 Disember dan jika rentak kemenangan diteruskan Setan Merah mampu menjadikan slot Champions League menjadi milik mereka.

BACA:  Ten Hag Janji Panggil Rashford Kerana Prestasi Buruk Pemain Itu