Thierry Henry Menegaskan Yang Hanya Ada Seorang Sahaja ‘Ronaldo’ Dalam Dunia Bola Sepak

Para peminat sepertinya sudah boleh berhenti memanggil Cristiano Ronaldo dengan nama ‘Ronaldo’ kerana Thierry Henry sudah memutuskan hanya ada satu Ronaldo sahaja dalam sejarah dunia bola sepak.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan yang para peminat sebenarnya sudah lama memperdebatkan tentang hal tersebut dengan mereka keliru siapa yang dimaksudkan ketika nama ‘Ronaldo’ disebut sebagai antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak.

Melainkan seandainya perbincangan itu berbual khusus tentang Manchester United, Portugal, Brazil maka lebih jelas siapa Ronaldo yang dimaksudkan itu.

Namun jika sekadar menyebut Ronaldo Real Madrid atau Ronaldo pemain terhebat dunia maka ia akan berlaku sedikit kekeliruan tentang ‘Ronaldo’ mana yang sebenarnya dimaksudkan.

Kerap kali berlaku salah faham ketika seseorang itu membicarakan tentang Ronaldo yang memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun 2002, namun ramai yang menyangka nama pemenang lima kali gelaran Ballon D’or yang sedang disebut.

Hari ini Thierry Henry mengesahkan yang nama ‘Ronaldo’ itu hanya untuk Ronaldo Luis Nazario de Lima dan menganggap legenda Brazil itu sebagai ‘Ronaldo asli’ dan gelaran Cristiano harus diberikan kepada penyerang Man Utd itu.

ketika ditanya adakah beliau pernah meminta jersi mana-mana pemain ketika kariernya, Henry menjawab bahawa:

“Ronaldo. R9. Ronaldo yang sebenar.”

“Bagi saya, berapa ramai Ronaldo yang kamu kenal sepanjang hidup kamu?”

Jelas Henry.

“Yang asli? Kita panggil dia Ronaldo yang asli, sekarang kita ada Cristiano…”

Balas Carragher.

“Ronaldo adalah R9. Cristiano adalah Cristiano Ronaldo.”

Sambung legenda Perancis itu lagi.

Perbincangan tersebut terjadi ketika tamat aksi seri 1-1 Manchester United bertemu Atletico Madrid di Wanda Metropolitano awal pagi tadi.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman saingan Champions League, Cristiano Ronaldo turut turun beraksi dalam perlawanan tersebut, namun malangnya beliau gagal untuk memberikan impak seperti yang diharapkan.

Ketika ketibaan beliau di Madrid Cristiano bersama Raphael Varane telah diberikan standing ovation oleh para peminat kerana menghormati karier mereka dalam saingan La Liga sebelum ini.

Manchester United jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka dalam perlawanan ini dengan pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-7 permainan menerusi Joao Felix.

Bintang muda Portugal itu berjaya menanduk padu bola hantaran dari Renan Lodi untuk membantu Atletico Madrid mendahului perlawanan 1-0.

Skill tanduk terbang yang beliau pamerkan jelas sekali memukau para peminat seluruh dunia dan Atletico Madrid juga sebenarnya memiliki banyak kesempatan untuk menambah jaringan mereka.

Manchester United akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan di hujung-hujung aksi babak kedua permainan menerusi pemain gantian, Anthony Elanga.

Manchester United bernasib baik kerana mampu mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan ini dengan mereka sebenarnya beberapa kali diselamatkan oleh palang dan tiang gol.

Aksi timbal balik akan dilangsungkan pada 16 Mac nanti di Old Trafford dan jelas sekali kedua-dua pasukan akan berusaha sehabis daya mereka untuk mencatatkan kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Kedua-dua pasukan sedang berada di tahap persembahan terburuk mereka pada ketika ini, dan saingan Champions League merupakan satu-satunya kejuaraan yang mereka boleh miliki sepanjang musim ini.

Saingan liga dan domestik sepertinya sudah tidak ada harapan untuk kedua-dua pasukan menangi pada musim ini, dan kerana itulah mereka bakal berjuang habis-habisan dalam saingan Champions League.

Aksi leg kedua nanti sudah tentu sangat menarik untuk disaksikan dengan kedua-dua pasukan turun dengan misi untuk menang, seterusnya melayakan diri beraksi di peringkat suku akhir.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Six-pack Cristiano Ronaldo Yang Terdedah Dikatakan Fake Oleh Peminat