Thomas Tuchel Anggap Padang Punca Chelsea Diaibkan Oleh Arsenal

Thomas Tuchel sepertinya benar-benar terkesan dengan kekalahan 4-2 Chelsea di tangan Arsenal di Stamford Bridge awal pagi tadi.

Ia jelas satu kepuasan yang tak terkata untuk kem Arsenal selepas mereka berjaya mengakhiri rekod tiga kekalahan berturut-turut dengan menewaskan seteru utama mereka, Chelsea.

Kemenangan itu juga membantu menghidupkan semula peluang untuk Arsenal layak beraksi ke pentas saingan Champions League musim hadapan.

Chelsea sementara itu terpaksa akur dengan kekalahan tersebut dek kerana mereka sendiri yang menjadi punca membenarkan Arsenal mengutip tiga mata penuh.

Beberapa kesilapan individu dilakukan oleh pemain Chelsea sepanjang perlawanan ini dan Thomas Tuchel sendiri sepertinya sedar akan hal tersebut.

Andreas Christensen antara pemain terawal yang menghukum Chelsea sendiri selepas bola lemah hantaran beliau kepada Mendy dipintas oleh Eddie Nketiah yang kemudiannya meledak gol pembukaan untuk Arsenal.

Selepas dari itu beberapa lagi pemain Chelsea turut ada melakukan kesilapan-kesilapan kecil yang menyebabkan gawang gol mereka dihukum.

Chelsea 2-4 Arsenal

Selepas Arsenal mendahului seawal minit ke-13 permainan menerusi Eddie Nketiah, Chelsea berjaya kembali menyamakan kedudukan menerusi Timo Werner.

Arsenal kembali mendahului permainan pada minit ke-27 menerusi Emile Smith Rowe sebelum Cesar Azpilicueta kembali menyamakan kedudukan beberapa minit sahaja selepas itu.

Pada aksi babak kedua permainan, Arsenal kembali mendahului permainan sekali lagi menerusi Eddie Nketiah dan kali ini sepertinya pasukan tuan rumah sudah tak mampu membalas gol tersebut.

Bukayo Saka kemudiannya menjaringkan gol keempat untuk Arsenal pada masa kecederaan permainan seterusnya mengesahkan kemenangan skuad kendalian Mikel Arteta itu menewaskan Chelsea dengan keputusan 4-2.

Jelas sekali persembahan hambar Chelsea pada hari ini mengecewakan Thomas Tuchel dan hal itu terbukti ketika mendengar komen beliau ketika temu bual selepas tamat perlawanan.

Temu bual tegang Thomas Tuchel

Thomas Tuchel yang kecewa dengan persembahan anak-anak buahnya tampil menyatakan bahawa:

“Kami jaringkan lima gol dan kalah 4-2. Tiga gol sendiri dan dua gol biasa untuk kami sendiri.”

Jelas Tuchel kepada Sky Sports.

“Saya tak boleh ingat kalau kami pernah lakukan kesilapan seperti itu sebelum ini. Kami tak dapat jaringkan gol tapi kami berikan mereka gol.”

“Babak kedua juga kami tak cukup bagus lagi. Secara individu, bagaimana kami bolos gol ia adalah kesilapan yang dramatik, kesilapan individu.”

“Kami memilih untuk bagi gol percuma kepada lawan tanpa ada apa-apa sebab. Kami lakukan hal yang sama ketika bertemu Real Madrid dan Brentford.”

Tuchel kutuk padang Chelsea

Dari pelbagai komen yang dikeluarkan oleh Thomas Tuchel, ada satu komen yang benar-benar mencuri perhatian ramai.

Beliau mengaitkan kesilapan Christensen dan semua kesilapan lain yang dilakukan oleh pemain Chelsea adalah berpunca dari masalah padang di Stamford Bridge.

Bercakap kepada media, Tuchel menjelaskan bahawa:

“Untuk kata yang susah bermain di padang sini, ia mungkin bunyi macam bagi alasan tapi ia memang padang yang sangat, sangat sukar yang kami ada di sini. Ia bukan pilihan kami.”

“Bola itu melantun dengan sangat janggal di hadapan Andreas ketika dia mahu mainkan bola itu. Tapi sama juga, kami lakukan kesilapan sama bertemu Real Madrid yang menyusahkan kami di pusingan seterusnya dalam saingan Champions League dan hari ini ia beri kesan pada kami untuk perlawanan seterusnya.”

Adakah alasan itu masuk akal?

Thomas Tuchel pada ketika ini sudah menggantikan tempat Jurgen Klopp yang sebelum ini akan sentiasa ada alasan mengarut selepas skuadnya berdepan kekalahan.

Padang, rumput, kaki sejuk, cuaca, angin dan macam-macam lagi dipersalahkan andai keputusan tidak memihak kepada mereka.

Thomas Tuchel kini sedang melakukan hal yang sama dengan beliau sentiasa tampil memberi alasan yang mengarut setiap kali Chelsea berdepan kekalahan.

Tapi Tuchel sepertinya lebih kedepan dan lebih teruk lagi kerana beliau menyalahkan padang sendiri menjadi punca Chelsea kalah.

Padang yang sebelum ini membantu mereka mencatatkan kemenangan besar hari ini dianggap bermasalah kerana mereka tewas di tangan Arsenal.

Sumber: GMS

BACA:  Tuchel Bengang Melihat Pengadil Bermesra Dengan Carlo Ancelotti