Thomas Tuchel Mahu Azpilicueta Kekal Bersama Chelsea

Pengurus skuad Chelsea, Thomas Tuchel ketika ini dilaporkan sedang berusaha untuk memujuk ketua pasukan, Cesar Azpilicueta supaya kekal di Stamford Bridge.

Beliau berusaha untuk memastikan Azpilicueta akan kekal bersama kelab walau Barcelona dilaporkan sangat berminat mahu mendapatkan khidmat bintang Sepanyol itu.

Kontrak pemain berusia 32 tahun itu di Stamford Bridge dilanjutkan secara automatik ekoran dari jumlah perlawanan yang sudah beliau mainkan sebelum ini.

Beliau dilaporkan sebelum ini sangat berharap mahu ke Nou Camp sebagai pemain bebas ejen, selepas kejayaannya membantu Chelsea menjuarai saingan FIFA Club World Cup.

Kejayaan tersebut menjadikan beliau antara pemain yang sudah memenangi segalanya yang boleh dimenangi bersama Chelsea dan kerana itulah beliau berhasrat mahu meninggalkan kelab.

Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel juga turut pernah bercakap tentang masa depan ketua pasukannya itu selepas tamat aksi kemenangan mereka dalam perlawanan akhir saingan FIFA Club World Cup.

“Kami banyak bercakap tentang hal ini kerana saya rasa dia sudah menang segalanya selepas kami memenangi Club World Cup, jadi saya faham perasaan dia, mungkin dia rasa semuanya dia dah dapat.”

Jelas Tuchel.

“Kemudian ada isu tentang pertukaran hak milik dan dia hanya bermain di bawah pemilik ini, jadi mungkin ia menambah lagi rasa untuk dia keluar itu.”

“Lanjutan kontrak dia berlaku pada waktu sama dan dia sayangkan kelab, dia sukakan cabaran dan dia gembira berada di sini. Dia kapten kita, kita masih lagi sedang berunding dan pada masa sama kita sebenarnya pentingkan diri kerana kita tak bertanggungjawab untuk selesaikan masalah lain dalam kelab atau penuhi apa-apa kehendak kelab yang lain.”

Pengurus dari Jerman itu kemudiannya turut mengakui yang beliau berharap mahu melihat Azpilicueta akan kekal sebagai pemain Chelsea dek kerana pentingnya pemain Sepanyol itu dalam skuad.

“Memandangkan kita sudah hilang pemain pertahanan utama, ia bukan senario yang baik untuk memikirkan yang kita akan kehilangan Azpi, walaupun saya boleh faham perasaan dia secara peribadi.”

“Pada sisi lain, jika kamu legenda yang mana itulah diri dia, kamu berhak untuk dipandang oleh saya mahupun kelab, dan kami sedang berusaha memujuk dia.”

“Saya sangat berharap agar dia akan kekal dan dia tahu itu, cuma kami masih sedang berunding dan mahu mencari kata sepakat yang terbaik.”

Chelsea pada ketika ini sedang mempersiapkan skuad mereka kerana mereka pada musim hadapan bakal melalui musim yang sukar dalam saingan Premier League.

Chelsea bakal berdepan laluan sukar dalam saingan EPL musim hadapan

Musim 2022/23 bakal menjadi musim yang sangat sukar untuk skuad Chelsea dalam saingan Premier League, dan hal itu sebenarnya berpotensi untuk menjejaskan kesempatan mereka mahu memenangi liga.

Mereka akan memulakan kempen musim hadapan dengan cabaran yang sangat besar dan melihat kepada jadual perlawanan mereka, ia jelas bakal memeningkan kepala Thomas Tuchel.

Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, Chelsea bersama 19 lagi pasukan lain dalam saingan Premier League akan turun beraksi sesama sendiri sebanyak dua kali.

Satu perlawanan akan dilangsungkan di halaman sendiri dan satu lagi perlawanan akan dilangsungkan di halaman lawan.

Ia sememangnya prosedur biasa yang akan dilalui oleh semua pasukan yang beraksi dalam saingan Premier League setiap musim.

Walau bagaimanapun, Chelsea sebenarnya akan berdepan cabaran yang sangat sukar pada musim hadapan dengan mereka sudah memiliki laluan sukar sejak dari awal musim lagi.

Memandangkan The Blues akan bersaing dengan Liverpool dan Manchester City, atau boleh jadi Tottenham Hotspurs dan Man United dalam perebutan saingan Premier League, maka permulaan musim sebenarnya sangat penting untuk mereka.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu akan memulakan kempen mereka pada musim baharu ini nanti bertemu Everton di Goodison Park.

Ia sebenarnya cabaran yang sangat sukar untuk Chelsea sendiri apa lagi selepas memikirkan yang Everton tak pernah tewas dalam perlawanan pembukaan mereka sejak 10 tahun lalu.

Melihat kepada jadual baru dalam saingan Premier League, Chelsea akan berdepan pasukan dari ‘Big Six’ dalam tempoh waktu yang agak singkat sebenarnya.

Berikut merupakan jadual skuad The Blues bertemu pasukan ‘Big Six’ dalam saingan Premier League musim hadapan.

13 Ogos 2022: Chelsea vs Tottenham Hotspur

17 September 2022: Chelsea vs Liverpool

22 Oktober 2022: Chelsea vs Manchester United

5 November 2022: Chelsea vs Arsenal

2 Januari 2023: Chelsea vs Manchester City

21 Januari 2023: Liverpool vs Chelsea

25 Februari 2023: Tottenham Hotspur vs Chelsea

22 April 2023: Manchester United vs Chelsea

29 April 2023: Arsenal vs Chelsea

20 Mei 2023: Manchester City vs Chelsea

Jadual tersebut jelas menunjukkan yang Chelsea akan berdepan tekanan yang teramat sangat dengan mereka akan berkunjung ke halaman Manchester City, Manchester United dan Arsenal pada tujuh perlawanan terakhir musim hadapan.

Ia jelas sekali bukan satu hal yang boleh menenangkan skuad Chelsea kerana ketika itu mereka mungkin akan sangat terdesak mahu mencatat kemenangan untuk memburu gelaran liga.

Chelsea sebenarnya perlu memastikan mereka akan mengutip tiga mata penuh dari kesemua aksi mereka bertemu pasukan bawahan pada pertengahan musim tersebut.

Hal ini kerana agak sukar untuk mereka mengutip tiga mata penuh ketika beraksi pasukan besar apa lagi jarak antara perlawanan tersebut agak rapat.

Chelsea pada awal musim lalu sebenarnya turut berdepan laluan yang sukar, namun mujur saja skuad kendalian Thomas Tuchel itu berjaya memulakan kempen mereka dengan sangat baik.

Memandangkan musim ini mereka sekali lagi mendapat jadual yang sukar pada awal musim, jelas sekali skuad kendalian Thomas Tuchel itu mahu melakukan hal yang sama seperti mereka lakukan pada musim lalu.

Tuchel sebenarnya sudah sedar yang beliau akan berdepan cabaran yang sangat besar pada musim hadapan.

Bercakap pada bulan lalu, Tuchel mendedahkan yang beliau tahu musim baharu ini bakal menjadi musim yang sukar dengan Manchester United dan Tottenham Hotspurs juga berpotensi untuk menjadi pencabar.

“Kami mahu kekal dalam perlumbaan bersama Liverpool dan Man City, tapi mereka kini telah melakukan segalanya untuk menaikkan lagi standard dalam saingan liga. Ini adalah cabaran yang perlu kami hadapi.”

Chelsea kini masih mempunyai tempoh sekitar satu bulan untuk mempersiapkan diri mereka berdepan cabaran yang sangat getir pada musim baharu nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Peminat Kompilasikan Video Disasteclass Kai Havertz vs Wolves