Thomas Tuchel Sanggup Bawa Bas Sendiri Demi Pastikan Chelsea Beraksi Di UCL

Ketua jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel memberi jawapan menakjubkan ketika beliau ditanya bagaimana beliau bersama anak-anak buahnya mahu berkunjung ke Lille untuk aksi dalam saingan Champions League.

Chelsea bakal berdepan wakil dari Perancis itu untuk aksi leg kedua pusingan 16 terbaik saingan Champions League dengan mereka berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 ketika aksi leg pertama sebelum ini di Stamford Bridge.

Terdapat persoalan yang mempersoalkan bagaimana The Blues mahu menyediakan skuad mereka untuk menghadapi perlawanan tersebut, dengan mereka hanya diberikan bajet £20,000 sahaja untuk setiap perlawanan di halaman lawan.

Bajet Chelsea disekat dek kerana segala aset milik Roman Abramovich termasuk Chelsea FC telah dibekukan oleh pihak kerajaan UK.

Ketika ditanya tentang kesukaran yang sedang dihadapi oleh pihak kelab, Tuchel sempat bergurau menyatakan yang beliau sendiri mungkin akan memandu bas bawa pemain ke Lille.

“Maklumat terakhir yang saya terima adalah kami ada pesawat dan kami boleh ke sana menggunakan pesawat dan pulang juga dengan pesawat. Jika tidak kami akan pergi dengan train, jika tidak dengan bas, jika tidak saya akan pandu sendiri bas itu.”

Jelas Tuchel selepas tamat aksi kemenangan 1-0 Chelsea menewaskan Newcastle United semalam.

“Sejujurnya saya memang akan lakukan, kamu boleh pegang kata-kata saya, saya akan lakukan itu untuk sampai ke sana.”

“Jika kamu tanya saya 20 ke 30 tahun lalu, untuk mengendalikan perlawanan Champions League apa yang sanggup saya lakukan, saya akan jawab, ‘Ok, di mana perlu saya berada dan bila?”

“Mengapa saya perlu berubah? Saya akan tiba di sana dan kami akan ada di sana. Sudah tentu, dari segi organisasi, ada rundingan yang sedang dibincangkan, tapi ia tak mempengaruhi saya.”

Pembekuan asset milik Roman Abramovich oleh pihak kerajaan UK kononnya kerana menunjukkan sokongan kepada Ukraine dan mendakwa pemilik Chelsea itu berkomplot dengan Vladimir Putin.

Segala asset milik Roman Abramovich telah dibekukan pada ketika ini dengan Chelsea dikatakan bakal dijual oleh kerajaan UK, tanpa Roman Abramovich mendapat apa-apa dari urusan penjualan tersebut.

Chelsea pada ketika ini sudah tidak dibenarkan untuk menjual atau menandatangani pemain, memperbaharui kontrak pemain, menjual tiket dan merchandise.

Dengan pihak kelab juga diberikan bajet yang sangat sedikit untuk mereka menyediakan skuad bagi menghadapi hari perlawanan.

Mereka kini diragui tidak akan mampu untuk membayar gaji pemain yang mana Chelsea dilaporkan memerlukan £28 juta sebulan untuk membayar gaji para pemain sahaja.

Tuchel yang ketika ini sedang dalam kontrak bersama Chelsea sehingga 2024, telah mengesahkan yang beliau akan terus mengendalikan kelab sehingga akhir musim ini.

Namun beliau sendiri tidak tahu apa akan berlaku selepas ini terutama memikirkan kelab masih belum di jual sehingga ke hari ini.

“Tidak ada keraguan yang saya akan kekal sehingga akhir musim. Sangat pasti.”

Tambah Tuchel lagi.

“Kita cuma perlu menunggu dan kita perlu lalui hari-hari mendatang kerana semuanya boleh berubah. Tapi seperti kamu tahu, situasi sekarang jelas, kelab untuk dijual, dan semoga saja ia akan berjalan dengan lancar.”

“Tapi itu semua masih spekulasi dan saya tak ada maklumat lebih lanjut seperti mana maklumat kamu ada.”

“Dan itulah apa yang saya maksudkan hari ke hari, yang mana ia mungkin cara terbaik untuk kita jalani kehidupan kita, dan sekarang kami dipaksa untuk lalui ini kerana ada beberapa situasi yang kami tak boleh pengaruhi, dan pada satu titik, ia tak elok kerana kami tak ada kuasa dan kami tak boleh lakukan apa-apa.”

“Tapi dari sudut pandangan lain, ia beri kamu kebebasan untuk beri tumpuan atas apa yang kami boleh pengaruhi dan inilah persembahan kami dengan menunjuk semangat kami.”

“Kerana, sudah tentu, tumpuan kepada pasukan utama, pemain kami, dan saya sendiri. Tapi Chelsea sendiri lebih dari skuad utama kami dalam saingan Premier League. Ia kelab yang besar dan ada tradisi yang hebat.”

“Dan ada ratusan orang yang saya sangat yakin mereka lebih risau dengan keadaan ini berbanding kami, pemain dan staff termasuk saya.”

“Dan untuk mereka, adalah sangat penting untuk kami tunjukkan semangat dan beri mereka segalanya yang kami mampu, tunjukkan kami cintakan bola sepak dan kami sayangkan permainan ini.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kenapa Pemain Chelsea Cium Kasut Tuchel Ketika Raikan Kemenangan?