Unai Emery Sahkan Beliau Bakal Tinggalkan PSG Hujung Musim Ini

Selepas dua tahun menguruskan Paris Saint-Germain, Unai Emery mengesahkan beliau akan meninggalkan kelab tersebut hujung musim ini selepas gagal membimbing PSG memenangi Liga Juara-Juara Eropah.

Walaupun berjaya memenangi Ligue 1 dan Coupe de la Ligue musim ini, kerjaya beliau sebagai pengurus PSG akan diingati kerana gagal membimbing kelab tersebut memenangi Liga Juara-Juara Eropah.

Seperti lampin pakai buang, PSG bakal memiliki pengurus baru musim hadapan

Untuk dua musim berturut-turut, PSG disingkirkan dari kejohanan tersebut dalam pusingan kedua. Musim lepas, mereka mengalami kekalahan memalukan di tangan Barcelona walaupun mencatatkan kemenangan 4-0 dalam perlawanan pertama. Barcelona berjaya bangkit dalam perlawanan timbal balik dengan keputusan 6-1 sekali gus menyingkirkan PSG.

Skrip sama berulang musim ini apabila mereka ditewaskan Real Madrid dengan aggregat 5-2. PSG berbelanja besar saban musim untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah tetapi masih lagi belum membuahkan hasil.

Dalam satu sidang media menjelang pertemuan PSG menentang Guingamp, Emery akhirnya mengesahkan spekulasi yang mengatakan beliau akan meninggalkan kelab tersebut hujung musim nanti.

Pedih. Kekalahan di tangan Barcelona musim lepas amat sukar untuk dihadam Emery

“Saya susah beritahu semua pemain yang saya akan meninggalkan PSG hujung musim ini. Terima kasih diucapkan kepada Presiden Nasser Al-Khelaifi, Direktor Sukan Antero Henrique, para peminat dan juga semua pemain sepanjang 2 musim bersama kelab ini.”

Emery turut mengakui musim pertamanya di Perancis agak sukar ditambah pula dengan penyingkiran di tangan Barcelona dalam Liga Juara-Juara.

“6 bulan pertama saya di PSG agak sukar. Zlatan Ibrahimovic baru sahaja meninggalkan kelab ini dan saya juga baru hendak menyesuaikan diri. Selepas itu, prestasi PSG bertambah baik tetapi tersingkir dari Liga Juara-Juara di tangan Barcelona amat sukar untuk ditelan.”

Walaupun bakal meninggalkan PSG tidak lama lagi, Emery yakin dengan pelan jangka panjang kelab tersebut untuk menjadi kelab paling berjaya di Eropah dan turut berkata Neymar masih komited untuk terus bermain bersama PSG.

“PSG mempunyai projek yang mantap. Neymar mahu membesar dan menjadi pemain yang lebih bagus bersama kelab ini.”

PSG berada dalam landasan terbaik untuk meraih ‘treble’ musim ini dimana pasukan divisyen ke-3, Les Herbies menanti mereka dalam perlawanan akhir Coupe de France.

“Setiap perlawanan adalah penting. Setakat ini, semua pemain telah memberikan response yang baik sejak kami tewas di tangan Real Madrid tempoh hari.”

Calon hangat untuk menggantikan tempat Emery. Kesian peminat Arsenal

“Saya masih fokus untuk mengakhiri kempen Ligue 1 kami dengan baik dan final Coupe de France tidak lama lagi. Selepas itu, saya akan menilai tawaran dari kelab luar.”

Bekas pengurus Sevilla ini telah menguruskan 109 perlawanan untuk PSG dan 86 daripadanya berakhir dengan kemenangan. PSG telah menjaringkan 306 gol dan hanya dibolosi sebanyak 86 kali.

Calon utama untuk mengisi kerusi panas PSG yang bakal kosong tidak lama lagi adalah bekas jurulatih Borussia Dortmund, Thomas Tuchel. Menurut laporan dari Jerman dan Perancis, beliau telah bersetuju untuk menyertai PSG musim hadapan.

BACA:  Unai Emery: Ada Pemain Perlu Meninggalkan Arsenal