Valencia: Manchester United Akan Cabar Semua Trofi Musim Hadapan

Pemain pertahanan Manchester United, Antonio Valencia mahu pasukannya mencabar semua trofi yang ada musim hadapan selepas melihat peningkatan ketara yang dipamerkan United musim ini.

Manchester United gagal mencabar Manchester City dalam perebutan juara Liga Perdana Inggeris selain tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah di tangan Sevilla. Mereka juga tumpas mengejut di tangan pasukan dari liga bawahan, Bristol City dalam pertandingan Piala Carabao.

Kami mahu tamak !

Walaubagaimanapun, Red Devils masih lagi berpeluang untuk merangkul satu trofi musim ini dimana mereka bakal berhadapan cabaran getir dari Tottenham Hotspurs dalam pusingan separuh akhir Piala FA minggu depan. Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Chelsea dan Southampton bagi merebut slot ke perlawanan akhir.

Pencapaian Manchester United musim ini jauh berbeza dengan apa yang mereka telah lakukan pada musim 2016/2017 dimana anak buah Jose Mourinho berjaya merangkul 3 trofi – Community Shields, Piala Liga, dan Europa League.

Walaupun gagal mengulangi pencapaian musim lepas kapten Manchester United, Antonio Valencia percaya Red Devils dalam landasan yang tepat untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa depan.

United telah mengesahkan tempat mereka untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan dan mereka berpeluang mengakhiri musim di kedudukan kedua liga selepas menduduki tangga ke-6 musim lepas.

Suatu ketika dahulu

“Saya rasa kami telah menunjukkan peningkatan yang positif jika mengambil kira banyak perkara. Kami berjaya menjaringkan lebih banyak gol, mengutip lebih banyak mata, dan tidak melepaskan gol dengan banyak.”

“Saya juga rasa kami bermain lebih baik musim ini. Anda mahu membawa perkara ini ke musim hadapan dan memperbaiki kekurangan pasukan, terutamanya keputusan perlawanan.”

“Kami mahu memenangi lebih banyak perlawanan dan tidak mahu lagi melepaskan mata dalam perlawanan yang sepatutnya kami mampu menang.”

“Jika diambil kira segenap aspek, saya dapat rasakan musim hadapan bakal berlangsung dengan baik dan saya berharap kami akan mampu mencabar semua trofi dalam pertandingan yang kami sertai.”

Mood dalam pasukan Manchester United semakin membara selepas mereka menyekat hasrat Manchester City untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris di hadapan penyokong sendiri minggu lalu.

Selepas ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama, mereka bangkit untuk menjaringkan 3 gol pada babak kedua melalui dua jaringan Paul Pogba dan satu daripada Chris Smalling.

Pasukan ini cukup kuat untuk bersaing dengan mana-mana pasukan

Melihat semangat yang dipamerkan rakan sepasukannya dalam perlawanan tersebut, Valencia percaya Manchester United mampu bersaing dengan mana-mana pasukan terbaik di dunia ketika ini.

“Selepas perlawanan menentang Manchester City minggu lepas, kami berasa sangat gembira dengan apa yang telah berlaku walaupun ketika kami kembali menjalani latihan beberapa hari kemudian. Perasaan ini kekal dengan anda setelah apa yang berlaku.”

“Ianya seperti satu mesej terhadap kami sendiri dan motivasi tambahan kepada pasukan. Ia menguatkan lagi keyakinan kami terhadap pasukan ini yang mana kami mempunyai skuad yang cukup kuat untuk menghadapi musim hadapan.”

BACA:  Pengurus Armenia Dakwa Wujud Masalah Antara Mkhitaryan dan Mourinho