Wayne Rooney Anggap Penandatanganan Ronaldo Tak Membantu Man United

Kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke bumi Old Trafford dianggap satu keputusan yang gagal oleh kebanyakan pihak termasuklah legenda kelab, Wayne Rooney.

Ramai yang percaya Cristiano Ronaldo tak memberi impak seperti yang diharapkan dan jelas sekali kehadiran beliau kali ini tak beri apa-apa kepada kelab.

Cristiano Ronaldo melakukan kepulangan semula yang cukup dramatik pada jendela perpindahan musim panas yang lalu.

Beliau sebelum itu hangat dikaitkan dengan bakal menyertai Manchester City dengan United kemudiannya segera tampil untuk menggagalkan perpindahan tersebut.

11 jam sebelum beliau ke Etihad, Ronaldo telah dihubungi oleh beberapa legenda kelab, termasuk Sir Alex Ferguson.

Beliau akhirnya memilih untuk kembali ke Old Trafford dan jelas sekali para peminat serta kelab sendiri sudah tentu meletakkan harapan yang cukup tinggi kepadanya.

Walau bagaimanapun, Ronaldo dikatakan gagal untuk memberikan impak seperti yang diharapkan, walaupun beliau merupakan penjaring terbanyak kelab pada ketika ini.

Pemain berusia 37 tahun itu dikatakan tidak begitu sesuai dengan corak permainan Ralf Rangnick dan kehadiran beliau di atas padang sebenarnya membebankan rakan sepasukannya yang lain.

Sejak Ole Gunnar Solskjaer dipecat pada November lalu, pihak kelab telah melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus interim yang baru, dengan pengurus dari Jerman itu mengamalkan sistem pressing.

Di usia Ronaldo sekarang, dengan kudrat yang tak seberapa, jelas sekali sistem tersebut tak sesuai dengannya dan kerana itulah ramai yang percaya beliau menjadi beban.

Walaupun beliau baru sahaja mencatatkan hat-trick ketika bertemu Tottenham Hotspur baru-baru ini, namun harus diakui rekod jaringan beliau jatuh mendadak.

Kini, melihat kepada kedudukan United dan masa depan mereka yang mungkin tidak akan beraksi di pentas saingan Champions League, ramai yang mempersoalkan tentang perancangan masa hadapan Ronaldo.

Bekas rakan sepasukannya, Wayne Rooney tampil mendedahkan yang beliau percaya Ronaldo tidak akan kekal dan bakal meninggalkan kelab pada penghujung musim nanti.

“Kamu boleh anggap tak pada ketika ini.”

Jelas Wayne Rooney di Monday Night Football ketika ditanya adakah keputusan kelab menandatangani Ronaldo berkesan.

“Saya rasa dia jaringkan gol, dia jaringkan gol penting dalam saingan Champions League pada awal musim, dia jaringkan hat-trick bertemu Tottenham, tapi saya fikir jika kamu mencari masa depan kelab, kamu perlu lihat pemain muda, pemain yang dahaga untuk berikan yang terbaik dan mengangkat Manchester United untuk tempoh dua ke tiga tahun akan datang.”

“Jelas sekali Cristiano Ronaldo dah berusia, dia bukan lagi pemain yang sama seperti ketika dia di usia 20 an, dan itulah yang berlaku, itulah bola sepak.”

“Dia ada ancaman gol tapi benda lain dalam perlawanan, mereka perlukan lebih dari itu, mereka perlukan pemain muda yang dahaga.”

Ralf Rangnick sememangnya selesa dengan corak permainan berintensiti tinggi, permainan pressing dan di Old Trafford beliau masih gagal untuk melakukan hal itu.

Walaupun Ronaldo dianggap tak sesuai dengan sistem tersebut, namun Ralf Rangnick harus tetap menurunkan Cristiano Ronaldo kerana beliau tidak ada pilihan lain.

Dengan Marcus Rashford sedang tidak berprestasi dan Edinson Cavani pula kerap dibelenggu masalah kecederaan, maka hanya Ronaldo sahajalah yang beliau ada untuk terus diharapkan.

Kelab juga turut melepaskan Anthony Martial untuk sertai Sevilla pada jendela perpindahan Januari lalu sebagai pemain pinjaman.

Pemain harapan kelab, Mason Greenwood sementara itu masih lagi sedang menjalani hukuman penggantungan dengan kes beliau masih belum selesai.

Rooney dalam temu bual sama turut menamakan empat pemain yang pengurus baru United nanti perlu gunakan untuk bina skuad terbaiknya.

Nama Cristiano Ronaldo tidak disebutkan oleh Wayne Rooney dengan beliau jelas sekali tak yakin dengan kemampuan pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu pada ketika ini.

Seorang lagi pemain yang tidak disebut oleh pengurus Derby County itu adalah Paul Pogba, dengan masa depan pemain kebangsaan Perancis itu masih belum jelas.

Memandangkan United sendiri masih belum ada pengurus tetap, maka tak hairanlah Pogba sendiri belum mampu untuk memilih sama ada mahu kekal atau tidak.

Kontrak Pogba akan tamat pada penghujung musim ini nanti dan Rooney percaya bekas bintang Juventus itu akan pergi meninggalkan Old Trafford sebaik kontraknya tamat nanti.

“Saya rasa ia sudah sampai pada satu titik sekarang yang mana lebih bagus untuk dia move on.”

“Jika Paul jujur pada diri dia sendiri, dia berkemungkinan tak akan berikan impak seperti apa dia beri sekarang sejak dari awal dia kembali ke Manchester United.’

Manchester United bakal jimat banyak pada musim panas nanti kerana kebanyakan pemain bergaji tinggi mereka bakal meninggalkan kelab.

Seandainya Cristiano Ronaldo juga turut memilih untuk meninggalkan kelab, maka ia satu bonus untuk kelab kerana akan mampu menjimatkan lebih banyak kos pembayaran gaji.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Cristiano Ronaldo Jelas Meluat Dengan Ketamakan Mason Greenwood